Isu Bahasa Isu-isu Pendidikan Malaysia

Isu bahasa dan sekolah adalah salah satu isu utama bagi banyak kumpulan politik di Malaysia. UMNO berjaya menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sekolah kebangsaan tetapi sekolah swasta serta sekolah vernakular (dikenali sebagai Sekolah Jenis Kebangsaan) dibenarkan menggunakan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar. Sehingga tahun 1982 terdapat juga Sekolah Inggeris yang kemudiannya menjadi sekolah kebangsaan biasa, dan kebanyakannya terdapat di kawasan bandar seperti Bukit Bintang Girls’ School, Bukit Nanas Convent, Methodist Boys’ School, Methodist Girls’ School, Peel Road Convent, Pudu English Secondary School, St John’s Institution, St Mary’s School dan Victoria Institution. Majoriti sekolah berkenaan diasaskan oleh mubaligh Kristian (Katolik, Methodist, Anglican, Brethren). Selepas rusuhan kaum di Kuala Lumpur pada 13 Mei 1969, sekolah yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar mula ditukarkan kepada sekolah kebangsaan bermula Januari 1970.


Pada tahun 2002, kerajaan mengumumkan pengajaran subjek Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Inggeris bermula tahun 2003, untuk memastikan Malaysia tidak ketinggalan di dalam arus globalisasi. Pelaksanaannya membuka jalan kepada pendidikan medium bercampur.

Pada tahun 2004, Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa hanya 2% pelajar Cina di sekolah kebangsaan. Wakil pembangkang, Lim Guan Eng juga menyatakan bahawa 60,000 pelajar bukan Cina belajar di sekolah jenis kebangsaan Cina.

Pada hari berikutnya, Perdana Menteri membuat kenyataan melalui jawapan bertulis kepada soalan oleh Dr Tan Kee Kwong (seorang lagi wakil dari pakatan yang sama)bahawa dasar membenarkan sekolah vernakular akan dikaji semula. Kenyataan khususnya adalah "pelbagai pendekatan telah diambil bagi menangani isu ini termasuklah merujuk semula sistem pendidikan yang membenarkan pelbagai aliran untuk digunakan di negara ini"[1]. Beliau bercakap mengenai isu polarisasi kaum di sekolah.

Pada April 2005, dalam satu cubaan untuk menjadikan sekolah kebangsaan lebih kompetitif dan menjadi pilihan utama pelajar bukan Melayu, kerajaan telah mengumumkan bahawa semua sekolah kebangsaan akan mula mengajar subjek Bahasa Cina dan Bahasa Tamil, bukan sebagai bahasa pengantar tetapi sebagai subjek elektif.